BISNES & EKONOMI

BESSASIA tampil teknologi gantikan genset diesel, bantu industri jimat kos elektrik

KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi sistem simpanan tenaga bateri (Battery Energy Storage System) atau BESS dilihat berpotensi menjadi alternatif lebih mesra alam bagi menggantikan penggunaan genset diesel konvensional yang bukan sahaja mencetuskan pencemaran, malah melibatkan kos operasi tinggi.

Pengarah Eksekutif BESSASIA, Datuk Hisham Hanif Khamis berkata, teknologi yang dibangunkan syarikat itu mampu menawarkan bekalan tenaga lebih stabil, senyap dan efisien selain membantu industri mengurangkan bil elektrik sehingga 40 peratus.

Menurut beliau, penggunaan genset diesel ketika ini bukan sahaja menghasilkan pencemaran bunyi dan bau, malah tidak selari dengan aspirasi kerajaan ke arah mencapai sasaran sifar pelepasan karbon bersih menjelang tahun 2030.

“Teknologi yang kami tawarkan adalah battery energy solar system yang boleh menggantikan genset (set janakuasa) diesel. Ia lebih senyap, lebih hijau dan lebih menjimatkan.

“Negara seperti Jepun, Jerman dan China sudah lama menggunakan teknologi ini, namun di Malaysia ia masih baharu dan belum digunakan secara meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena penyertaan syarikat pada pameran METALTECH & AUTOMEX 2026 yang sedang berlangsung di MITEC di sini, semalam.

Sebagai rekod, BESSASIA menawarkan tiga sistem simpanan tenaga bateri iaitu Mobile BESS berkapasiti 60kW/140kWh yang bersifat fleksibel dan mudah alih, Cabinet BESS berkapasiti 125kW/261kWh bagi kegunaan sektor perniagaan serta Container BESS berkapasiti 5.015MWh yang direka khusus untuk sektor industri dan utiliti berskala besar.

bess
Tiga sistem simpanan tenaga bateri yang ditawarkan BESSASIA.
bess
BESSASIA turut mendapat sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) sambil disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.

Terdahulu, BESSASIA turut mendapat sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) sambil disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.

Pengiktirafan ke atas Mobile BESS 60kW/140kWh dan Siri Cabinet BESS itu adalah bukti komitmen dan kesungguhan keseluruhan kakitangannya untuk mencapai standard keselamatan yang tinggi.

Mengulas lanjut, Hisham Hanif berkata, BESSASIA kini mempunyai pelbagai pelanggan dalam usaha membantu menangani isu bekalan elektrik tidak stabil termasuk gangguan elektrik berskala kecil yang sering berlaku.

Katanya, sistem bateri itu mampu membekalkan kuasa secara konsisten tanpa gangguan selain berfungsi seperti bank kuasa berskala besar yang boleh dicas dan digunakan semula.

“Kadang-kadang elektrik ada tetapi berlaku gangguan sekejap-sekejap sehingga lampu berkelip. Dengan sistem bateri ini, kuasa yang dibekalkan lebih stabil sepanjang masa,” katanya.

Tambah beliau, sistem berkenaan boleh dicas melalui grid biasa menggunakan sambungan tiga fasa atau menggunakan tenaga solar menerusi panel solar yang dipasang pada bumbung bangunan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan sistem BESS juga membantu syarikat terutama sektor pembuatan mengawal kos operasi ketika waktu penggunaan elektrik mencapai tahap tertinggi.

Menurutnya, kadar elektrik industri ketika waktu puncak boleh meningkat mendadak berbanding kadar biasa sekali gus menyebabkan bil elektrik kilang mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

“Apabila berlaku peningkatan penggunaan elektrik secara mendadak, sistem ini akan mengesan lonjakan tersebut dan secara automatik menukar penggunaan kepada bateri.

“Secara tidak langsung, kos operasi syarikat dapat dikurangkan antara 20 hingga 40 peratus,” katanya.

Selain penjimatan kos, penggunaan sistem simpanan tenaga bateri juga membantu meningkatkan kestabilan kualiti bekalan elektrik terutama bagi mesin industri dan sistem automasi yang memerlukan tenaga berkualiti tinggi.

Hisham berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam penggunaan tenaga hijau terutama solar memandangkan keadaan cuaca negara yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun.

Katanya, dasar kerajaan yang menggalakkan penggunaan tenaga hijau serta agenda Environmental, Social and Governance (ESG) turut membuka peluang besar kepada perkembangan teknologi tersebut di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button