BERITA SEMASA

Strategi Kepercayaan Digital, Keselamatan Data 2026-2030 bakal dibentang suku ketiga tahun ini

KUALA LUMPUR – Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 dijangka dibentangkan pada suku ketiga tahun ini bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan siber dan kepercayaan digital negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, strategi berkenaan kini berada pada peringkat akhir dengan kerajaan turut memberi tumpuan terhadap persediaan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

gobind
RHB Banking Group melancarkan Program Kepercayaan Digital RHB yang menampilkan RHB CyberSecure iaitu alat penilaian kendiri keselamatan siber pertama diterajui bank di Malaysia.

Menurut beliau, sebuah agensi sedia ada juga akan distruktur semula untuk memantau serta menguatkuasakan pelaksanaan strategi tersebut.

“Saya berharap pada suku ketiga tahun ini kita dapat membentangkan strategi itu dan melancarkan agensi yang akan melaksanakannya.

“Di sebalik strategi itu, kita juga memerlukan sebuah agensi bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipantau dan dikuatkuasakan dengan baik,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kepercayaan Digital RHB, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, RHB Banking Group melancarkan Program Kepercayaan Digital RHB yang menampilkan RHB CyberSecure iaitu alat penilaian kendiri keselamatan siber pertama diterajui bank di Malaysia khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memahami tahap pendedahan mereka terhadap risiko siber dan penipuan.

Menurut kenyataan RHB, alat berkenaan turut membantu PKS menilai tahap kesiapsiagaan keselamatan siber supaya mereka dapat mengambil langkah lebih yakin dan tersusun dalam memperkukuh daya tahan digital.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, RHB Bank Berhad dan CyberSecurity Malaysia turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kesedaran, pembangunan keupayaan dan daya tahan keselamatan siber dalam kalangan perniagaan tempatan menerusi pelbagai inisiatif bersama.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Roshdi Ahmad berkata, usaha melindungi ekosistem digital memerlukan kerjasama menyeluruh antara sektor awam dan swasta.

Katanya, kerjasama dengan RHB membuktikan kepentingan inisiatif diterajui industri dalam membina daya tahan siber negara.

“Dengan menyediakan alat dan pengetahuan praktikal kepada PKS, kami membantu perniagaan mengurus ancaman siber yang semakin berkembang, sekali gus memperkukuh kepercayaan digital secara keseluruhan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button