Gobind tersenarai 100 pemimpin AI kerajaan terbaik dunia
KUALA LUMPUR – Menteri Digital, Gobind Singh Deo, tersenarai dalam The Government AI 100 oleh Apolitical, sekali gus mengiktiraf peranan beliau sebagai antara 100 pemimpin kecerdasan buatan (AI) kerajaan terbaik dunia.
Pengiktirafan itu diberikan susulan usaha berterusan Gobind memacu agenda AI, 5G dan transformasi digital negara, khususnya dalam menjadikan AI sebagai tonggak utama pemodenan sektor awam Malaysia.
Menurut Apolitical, Gobind memainkan peranan penting melalui penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) selain menyelia pelaksanaan dasar dan inisiatif kawal selia bagi memastikan penggunaan AI yang dipercayai dan bertanggungjawab.
“Antara langkah utama dilaksanakan termasuk memperkukuh undang-undang keselamatan siber, memodenkan perlindungan data peribadi serta mencadangkan Rang Undang-Undang Perkongsian Data bagi menyokong perkongsian data merentas agensi kerajaan,” memetik Awani online.
Gobind berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya mencerminkan usaha kolektif seluruh pasukan Kementerian Digital dan agensi berkaitan.
“Pengiktirafan ini adalah hasil kerja keras semua pihak yang bersama-sama mempercepatkan transformasi digital Malaysia demi manfaat rakyat.
“Walaupun kementerian ini masih baharu, asas digital yang kukuh khususnya dalam bidang kecerdasan buatan telah berjaya dibina,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030, dengan tumpuan diberikan kepada memastikan AI memberi impak yang jelas dan boleh diukur kepada rakyat, perniagaan serta sektor awam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berlata, Gobind sebagai pemimpin yang memberikan hala tuju jelas dan konsisten dalam memajukan agenda digital serta AI negara.
“Pengiktirafan oleh Apolitical mencerminkan kekuatan agenda transformasi digital Malaysia di bawah kepimpinan beliau, terutamanya dalam menyelaraskan dasar dengan pelaksanaan di peringkat kerajaan dan industri,” katanya lagi.
Untuk rekod, senarai The Government AI 100 turut menampilkan tokoh global lain termasuk penasihat sains dan teknologi kepada Presiden Amerika Syarikat, Michael Kratsios; pengarah bersama Institut AI Berpusatkan Manusia Universiti Stanford, Dr Fei-Fei Li; serta Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Doreen Bogdan-Martin.
Apolitical merupakan platform global yang ditubuhkan pada 2015 bagi membantu kerajaan meningkatkan kecekapan tadbir urus melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan inovasi, dengan lebih 250,000 penjawat awam dari 170 negara berdaftar sebagai pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








