ADUN Permatang gesa Rukun Negara dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mencadangkan supaya Dewan Rakyat mempertimbangkan usaha untuk memasukkan prinsip Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai nilai asas kenegaraan yang wajib dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak.
Beliau berkata, ini kerana semakin banyak pihak yang mula mempersoalkan perkara asas berkaitan identiti negara, adab terhadap institusi diraja, perpaduan kaum serta semangat kenegaraan.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Cadangan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat tetapi untuk memperkukuhkan semangat patriotisme, memperkasakan perpaduan nasional serta memastikan generasi akan datang memahami bahawa negara ini dibina atas asas hormat kepada Raja, Perlembagaan, undang-undang serta nilai kesopanan dan kesusilaan.
“Rukun Negara tidak boleh hanya tinggal sebagai slogan. Ia mesti dijadikan roh kepada pentadbiran negara dan panduan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbezaan politik boleh diraikan tetapi kesetiaan kepada negara dan penghormatan kepada institusi negara mesti kekal menjadi titik persamaan kita semua.
“Negara akan kuat apabila rakyatnya masih mempunyai adab, hormat dan rasa cinta kepada tanah airnya,” katanya.
Semalam Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco, Ronnie Liu Tian Khiew untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali bagi menghayati makna Rukun Negara.
Sultan Selangor dalam kenyataan bertitah, ia supaya mereka rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Baginda juga bertitah semua ADUN Selangor datang sendiri ke Dataran Selangor yang terletak di Kelab Shah Alam, Seksyen 13, dua kali sebulan untuk membaca dan memahami makna Rukun Negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








