BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump beri amaran serangan baharu jika Iran gagal capai perjanjian

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan bahawa beliau hampir meluluskan satu lagi serangan ketenteraan terhadap Iran sebelum keputusan itu ditangguhkan pada saat akhir susulan perkembangan baharu daripada Tehran.

Menurut Trump, beliau hanya memerlukan kira-kira sejam lagi untuk membuat keputusan melancarkan serangan pada Selasa, namun tindakan itu ditangguhkan selepas Iran mengemukakan cadangan baharu yang dilihat berpotensi membuka jalan ke arah penyelesaian konflik antara Iran dengan gabungan AS-Israel.

“Saya hanya sejam lagi daripada membuat keputusan untuk menyerang hari ini,” katanya di White House.

Pada masa sama, Trump mendakwa kepimpinan Iran kini berada dalam keadaan terdesak untuk mencapai perjanjian damai.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa Washington tidak menolak kemungkinan melancarkan serangan baharu dalam tempoh beberapa hari akan datang sekiranya rundingan gagal menghasilkan persetujuan.

Konflik yang tercetus hampir tiga bulan lalu itu masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian walaupun beberapa usaha diplomatik telah dilakukan.

AS dan Israel sebelum ini melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran yang mencetuskan ketegangan berpanjangan di rantau tersebut.

Sejak kebelakangan ini, Trump berulang kali menyatakan bahawa perjanjian dengan Tehran hampir dicapai.

Namun, pada masa yang sama beliau terus mengeluarkan ancaman tindakan ketenteraan besar-besaran sekiranya rundingan menemui jalan buntu.

Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Trump turut berdepan tekanan politik domestik yang semakin meningkat untuk menamatkan konflik berkenaan serta memastikan Selat Hormuz, laluan penting perdagangan dan bekalan minyak dunia, dapat beroperasi tanpa gangguan.

Kenaikan harga minyak dan bahan api yang berterusan juga dilaporkan memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada Trump menjelang pilihan raya Kongres AS yang dijadualkan berlangsung pada November depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button