
KPT lulus peruntukan RM1.5 juta tambah baik 3 UiTM di Terengganu
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan kerja penambahnaikan di UiTM Kuala Terengganu, UiTM Dungun dan UiTM Bukit Besi di Kampus UiTM Kuala Terengganu.
Menterinya, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berkata, kelulusan itu diberikan sebagai langkah awal untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di ketiga-tiga kampus tersebut.
“Mengambil kesempatan berada di Terengganu, saya berinteraksi dan bertemu sendiri dengan para pelajar daripada UiTM Kuala Terengganu, UiTM Dungun dan UiTM Bukit Besi di Kampus UiTM Kuala Terengganu.
“Tahniah kepada para pelajar yang aktif bertanyakan pelbagai soalan, berkongsi pandangan serta menyuarakan pandangan mereka tentang masa depan pendidikan tinggi, peluang kerjaya, kebajikan mahasiswa dan cabaran dunia semasa.
“Saya percaya budaya bertanya, berfikir dan berdialog seperti ini amat penting dalam membentuk mahasiswa yang kritikal, berani dan berwibawa.
“Saya juga menerima pelbagai permohonan daripada para pelajar, pensyarah serta pihak pengurusan kampus berkaitan keperluan penambahbaikan kemudahan pembelajaran dan kehidupan kampus termasuk bangunan akademik, dewan, kemudahan asas serta ruang riadah bagi keselesaan warga universiti,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu katanya, beliau juga sempat menitipkan pesan kepada mahasiswa agar sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa.
“Walau siapa pun kita hari ini, sebesar mana pun kejayaan yang dicapai, jangan sesekali melupakan insan yang telah membesarkan, mendidik dan mendoakan kita tanpa pernah mengenal penat lelah.
“Pendidikan bukan sekadar tentang memperoleh segulung ijazah, tetapi membentuk manusia yang berilmu, beradab dan tahu mengenang jasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













