
Generasi muda perlu ambil tahu politik negara elak diperdaya – Jalaluddin Alias
SEREMBAN – Generasi muda seawal umur 18 tahun di negara ini perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan politik negara dalam kerangka yang lebih luas dan mendalam.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia penting bagi menjadikan mereka lebih matang dan mampu membuat keputusan bijak terutamanya ketika pilihan raya.
Katanya, kematangan itu boleh mengelak mereka daripada terkongkong membuat keputusan berdasarkan emosi atau kumpulan masing-masing.
“Kita mahu mereka membuat keputusan penting seperti memilih pemimpin dalam pilihan raya berdasarkan pengetahuan dalam ilmu politik.
“Tanpa ilmu politik mereka boleh terjebak membuat keputusan salah dan merugikan negara pada masa depan,” katanya dalam program Bicara Tokoh Siri 13.0 Keterlibatan Belia Dalam Politik Negara: Memperkasakan Kepimpinan Pewaris Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi.

Seramai 250 pelajar UiTM mengambil bahagian dalam program tersebut.
Jalaluddin mengingatkan golongan muda termasuk mahasiswa supaya menimba ilmu pengetahuan berkaitan politik kerana mereka adalah generasi yang akan mewarisi negara.
Jelasnya, para mahasiswa menjadi harapan kepada generasi akan datang meneruskan kesinambungan pentadbiran negara pada masa depan.
“Pengetahuan luas mereka dalam politik amat penting bagi mewujudkan budaya pengurusan negara melalui landskap politik.
“Kita perlu mengambil tahu mengenai politik negara supaya tidak mudah diperdaya dengan amalan politik yang boleh membawa negara kepada kemunduran,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








