BERITA SEMASA

Dong Zong kritik syarat kemasukan UEC ke IPTA, dakwa masih banyak sekatan

KUALA LUMPUR – Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) mengkritik syarat yang dikenakan terhadap pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dengan menyifatkan dasar tersebut masih belum mencapai tahap kesaksamaan pendidikan.

Menurut pertubuhan itu, keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan pemegang UEC dari Sekolah Menengah Persendirian Cina memohon ke universiti awam dilihat masih kabur serta disertakan pelbagai sekatan dan syarat.

Dong Zong berkata pendekatan tersebut tidak mencerminkan reformasi menyeluruh terhadap sistem pengiktirafan UEC, meskipun ia dianggap sebagai perkembangan positif.

“Kerajaan seharusnya lebih terbuka dalam menghargai sumbangan pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) serta melaksanakan pembaharuan sistem yang lebih substantif demi memastikan akses pendidikan yang inklusif dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan Jabatan Pendidikan Tinggi, terdapat dua mekanisme berbeza bagi permohonan pelajar UEC ke universiti awam.

“Pemegang UEC yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh dibenarkan memohon semua program melalui sistem UPUOnline, manakala mereka yang hanya lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM dihadkan kepada empat program berkaitan bahasa Cina sahaja.

“Mengapa wujud dua standard berbeza bagi pelajar SMPC yang sama-sama memiliki UEC? Apakah rasional di sebalik sekatan ini?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Dong Zong turut mempersoalkan ketelusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menjelaskan kaedah pengiraan merit serta tarikh permohonan, yang menurutnya boleh menimbulkan kekeliruan kepada pelajar dan ibu bapa.

Pertubuhan itu juga berkata, dakwaan kerajaan bahawa peluang pendidikan yang inklusif dan adil masih belum diterjemahkan sepenuhnya dalam pelaksanaan dasar kerana pelajar UEC masih perlu bergantung kepada keputusan SPM serta kombinasi mata pelajaran tertentu.

“Keadaan itu menunjukkan pemegang UEC masih berdepan kekangan dalam pilihan bidang pengajian, sekali gus tidak selari dengan prinsip kebebasan pendidikan dan pembangunan bakat negara,” katanya lagi.

Dong Zong turut menggesa kerajaan menilai semula pendekatan sedia ada bagi memastikan akses pendidikan lebih saksama dan terbuka kepada semua pelajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button