BERITA SEMASA

Dewan SMK Putrajaya Presint 14 (1) terbakar

PUTRAJAYA – Dewan SMK Putrajaya Presint 14 (1) terbakar dalam kejadian pada petang Khamis sehingga memusnahkan ruang belakang pentas yang digunakan untuk menyimpan perabot sekolah.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 6 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kerana sesi persekolahan telah tamat ketika kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14, Penolong Penguasa Bomba Dianty Hussain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang sebelum sebuah jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurut beliau, operasi pemadaman segera dilakukan sebaik pasukan tiba dan api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dengan keluasan kira-kira 12 x 50 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat latihan sukan dijalankan di kawasan sekolah namun semua pelajar dan guru berada dalam keadaan selamat.

“Ibu bapa serta guru turut membantu mengawal murid daripada menghampiri kawasan kebakaran,” katanya lagi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa video menunjukkan kepulan asap tebal dari kawasan sekolah dikongsi penduduk berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button