Dewan hotel terbakar, majlis makan malam bertukar cemas
MELAKA – Satu majlis makan malam yang sepatutnya berlangsung meriah bertukar cemas apabila dewan sebuah resort di Bukit Katil di sini yang menjadi lokasi majlis makan malam berkenaan terbakar, malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.14 malam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil telah dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Kesemua orang awam yang berada di dalam dewan berjaya keluar dan operasi pemadaman sedang dijalankan,” katanya.
Sebelum kejadian itu, lebih 1,000 kakitangan SWM Environment Sdn. Bhd. menghadiri majlis makan berkenaan.
Difahamkan, kebakaran dikatakan berlaku selepas pengurus besar syarikat berkenaan selesai memberikan ucapan sebelum kepulan asap tebal tiba-tiba memenuhi ruang dewan.
Kesemua tetamu yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan diri, namun seorang individu dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat bahang kebakaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








