Agro Penjaja-i solusi holistik Kerajaan Madani perkasakan penjaja kecil
Agro Penjaja-i inisiatif holistik Kerajaan MADANI perkasa penjaja kecil
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank secara rasmi melancarkan inisiatif Agro Penjaja-i sebagai langkah proaktif dalam membantu golongan penjaja dan usahawan mikro mendepani krisis bekalan global.
Inisiatif itu dirangka selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan ekonomi peringkat bawahan, terutamanya bagi kumpulan B40 dan M40 yang menjadi tulang belakang rantaian ekonomi setempat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, walaupun golongan penjaja merupakan penggerak ekonomi yang penting, mereka masih memerlukan sokongan sistematik dan akses pembiayaan untuk mengatasi kekangan kewangan serta menjamin kelangsungan perniagaan.
“Agro Penjaja-i hadir sebagai satu solusi holistik yang menawarkan kemudahan kewangan serta penyediaan latihan asas keusahawanan termasuk kemudahan digital bagi membantu para penjaja meningkatkan daya saing dan ketahanan ekonomi mereka,” katanya hari ini.
Mohamad berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran AGRO Penjaja-i, di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Dr Mohd Haniff Hassan dan Setiausaha Bahagian Kanan KPKM, Yuswan Yunus ke majlis pelancaran tersebut.
Mohamad seterusnya menambah, Agrobank merupakan agensi pertama yang tampil dengan inisiatif seumpama ini demi memperkukuh keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan komuniti agromakanan.
“Melalui Agro Penjaja-i, para penjaja dan usahawan mikro akan menikmati pelbagai manfaat yang menyeluruh merangkumi akses kepada skim pembiayaan mikro sehingga RM20,000.
“Ini diikuti degan kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000 serta pembiayaan Tambah-MU sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah 50 sen sebulan berserta laluan khas atau green lane,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Sabu turut memaklumkan bahawa pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini sedang giat menyiapkan pangkalan data pertanian negara yang dijangka siap Jun akan datang.
Data tersebut akan membolehkan rakyat memantau harga barangan keperluan harian secara telus, sekali gus membantu pengguna mengenal pasti lokasi bekalan makanan yang lebih murah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








