Chin Tong mohon maaf, dakwa kenyataan BUDI95 akan dihad lagi disalah tafsir
PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong memohon maaf susulan kekeliruan yang timbul berhubung dakwaan kerajaan berkemungkinan mengehadkan subsidi petrol BUDI95 kepada 150 liter.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataannya dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank pada Selasa telah dilaporkan secara tidak tepat dan diambil di luar konteks sebenar perbincangan.
Chin Tong berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan berkaitan had subsidi petrol di bawah skim BUDI95.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, kenyataan Chin Tong yang tersebar di media dan media sosial mencetuskan kebimbangan orang ramai bahawa kerajaan bercadang mengehadkan subsidi petrol BUDI95 dalam masa terdekat.
Isu itu timbul ketika kerajaan sedang meneliti langkah rasionalisasi subsidi bahan api bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang memerlukan.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, perbincangan dalam majlis tersebut sebenarnya berkisar mengenai strategi kerajaan dalam menangani krisis tenaga serta memastikan bekalan petrol negara mencukupi untuk jangka panjang.
Katanya, beliau hanya menjelaskan bahawa mekanisme BUDI95 membantu kerajaan mendapatkan data lebih menyeluruh bagi memahami corak penggunaan dan perjalanan harian rakyat Malaysia.
“Kepentingan utama kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama,” katanya lagi.
Tambah beliau, usaha menjamin kelangsungan bekalan tenaga memerlukan kesedaran dan konsensus masyarakat bagi menyokong langkah penjimatan penggunaan petrol.
Sehubungan itu, beliau melahirkan kekesalan kerana kenyataannya telah menimbulkan salah faham dan kebimbangan awam.
“Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham, dan saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan,” katanya lagi.
Sebelum itu, laporan media memetik Chin Tong sebagai berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pengurangan had subsidi petrol BUDI95 kepada 150 liter sebulan selepas kuota itu sebelum ini dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








