
PKR harap hubungan Malaysia-Tamil Nadu diperkukuh di bawah kepimpinan Vijay
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap hubungan antara Malaysia dan Tamil Nadu dapat diperkukuhkan susulan pelantikan pelakon dan ahli politik terkenal, C. Joseph Vijay sebagai Ketua Menteri baharu negeri itu.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya berharap dapat mewujudkan libat urus konstruktif serta hubungan rakyat yang lebih erat dengan Tamil Nadu.
Menurut beliau, kerjasama itu boleh diperkukuh dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pemerkasaan belia, teknologi, budaya dan kerjasama serantau.
“Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah dan budaya yang telah lama terjalin, khususnya menerusi komuniti India Malaysia yang masih mempunyai akar serta warisan berkait rapat dengan tamadun dan identiti Tamil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Maszlee turut mengucapkan tahniah kepada Vijay dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai cerminan aspirasi demokratik rakyat Tamil Nadu selain membuka lembaran baharu kepimpinan berteraskan harapan, reformasi dan pemerkasaan rakyat.
Beliau berkata, biro itu turut mengiktiraf kesedaran politik serta warisan ketamadunan yang kaya di Tamil Nadu, selain menyifatkan sumbangan negeri berkenaan terhadap keadilan sosial dan pembangunan ekonomi sebagai inspirasi kepada rantau lebih luas.
“Kami percaya pengukuhan institusi demokrasi, tadbir urus inklusif dan dasar berteraskan rakyat kekal penting dalam mendepani cabaran semasa,” katanya lagi.
Maszlee turut mendoakan agar Vijay dikurniakan kebijaksanaan dan kejayaan dalam memimpin rakyat Tamil Nadu dengan penuh keadilan serta ihsan.
Vijay, 51, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Ahad selepas memperoleh sokongan beberapa parti lain bagi membentuk majoriti di dewan perundangan negeri itu.
Parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya negeri bulan lalu, kurang 10 kerusi daripada majoriti mudah diperlukan dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















