BERITA SEMASA

Guru didakwa paksa murid sakit jantung bersukan ditukar sementara

ALOR SETAR – Guru yang dikaitkan dengan kematian seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang mempunyai sejarah penyakit jantung telah ditukarkan ke sekolah lain sebagai langkah intervensi awal.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan pertukaran itu dibuat selepas siasatan awal berhubung aduan keluarga murid berkenaan dijalankan.

Menurut jurucakap JPN Kedah, kes berkenaan kini telah diserahkan kepada Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada Unit Integriti KPM untuk tindakan seterusnya.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang kepada JPN serta KPM menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, sumber dalaman sekolah memaklumkan kejadian membabitkan Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan berlaku pada 14 April lalu ketika murid itu dikatakan menyertai pemilihan acara larian 80 meter bagi program sukan sekolah.

Menurut sumber, Nur Qaira Alisha mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil.

“Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil. Selepas bersukan, murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapatkan rawatan pada 17 April.

“Dia tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan waris turut membuat aduan pada 10 Mei,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, mengarahkan Unit Integriti KPM mengambil tindakan lanjut berhubung kes kematian murid berkenaan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau turut dimaklumkan bahawa JPN Kedah telah menjalankan siasatan terhadap aduan yang dikemukakan keluarga arwah.

Kes itu mendapat perhatian selepas bapa mangsa mendakwa menerusi media sosial bahawa anaknya diarahkan seorang guru menyertai aktiviti larian ketika pemilihan rumah sukan, meskipun pihak sekolah telah menerima surat pengesahan mengenai masalah jantung yang dialaminya.

Berikutan kejadian itu, Nur Qaira Alisha dilaporkan terlantar dan memerlukan bantuan oksigen sebelum meninggal dunia pada pukul 7.49 malam, Rabu lalu.

Perkongsian berkenaan mencetuskan reaksi ramai pengguna media sosial yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.

Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian dan sebarang tindakan yang wajar terhadap pihak berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button