BERITA SEMASA

Monsun Barat Daya bermula Khamis ini, cuaca lebih panas hingga September

KUALA LUMPUR – Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei ini dan berterusan sehingga September depan dengan keadaan cuaca lebih panas serta taburan hujan yang lebih rendah di kebanyakan kawasan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berlaku susulan tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara sepanjang tempoh berkenaan.

hisham
Dr Mohd Hisham

Menurut beliau, musim tersebut lazimnya menyebabkan kadar kelembapan udara menjadi lebih rendah sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan.

“Negara dijangka menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding musim lain selain bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada hari hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang masih berpotensi berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutama pada awal pagi.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada fenomena garis badai atau squall line, iaitu barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut China Selatan sebelum bergerak ke daratan akibat penumpuan angin.

“Fenomena ini juga boleh berlarutan selama beberapa jam,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan risiko jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku ketika kemuncak Monsun Barat Daya antara Julai hingga September sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengelakkan pembakaran terbuka bagi menghindari pencemaran alam sekitar selain menggunakan air secara berhemah berikutan taburan hujan yang lebih sedikit sepanjang tempoh tersebut.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh menerusi MET Malaysia dan aplikasi myCuaca selain media sosial rasmi MET Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button