Krisis adat berlarutan, bekas kerani diisytihar Undang Luak Sungei Ujong ke-11
SEREMBAN – Krisis pelantikan Undang Luak Sungei Ujong terus berlarutan apabila seorang bekas kerani, Abd Rahman Limat, 70, pula diisytiharkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dalam satu istiadat di Telapak Tua Kampung Chedang, di sini hari ini.
Pemasyhuran bapa kepada enam anak itu dibuat dalam majlis yang dimaklumkan mendapat persetujuan Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu.
Majlis bermula pada pukul 2.45 petang dengan ucapan aluan oleh Buapak Perut Waris Hulu sebelum diteruskan dengan istiadat menandatangani watikah pelantikan, memetik laporan Sinar Online.
Difahamkan, Abd Rahman yang memiliki pendidikan tertinggi Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berasal daripada Suku Biduanda Waris Klana dan memegang jawatan Datuk Juan Waris Perut di Hulu Luak Sungei Ujong.
Beliau juga didakwa pernah menghantar nama sebagai calon Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong pada 13 November 2004.
Turut kelihatan di lokasi ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang tertera tanda kenderaan rasmi Datuk Undang Luak Sungei Ujong.
Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas penyandang terdahulu, Datuk Mubarak Dohak, dilaporkan dipecat daripada jawatannya dan tindakan itu turut diperakui kerajaan negeri.
Mubarak bersama tiga Undang lain sebelum ini mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuat kuasa serta-merta.
BACA JUGA:
Muhammad Faris dilantik Undang Luak Sungei Ujong ke-11
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 20 April lalu menegaskan tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan tersebut tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Menurut beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa serta fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan tindakannya bercanggah dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Katanya, pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang Waris Klana Hulu Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
Beliau berkata, Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu turut bersetuju menerima kesepakatan Telaga Undang Waris Klana Hulu Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak selaras dengan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sementara itu, sebelum ini Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu turut melantik seorang akauntan, Muhammad Faris Johari sebagai Undang baharu dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu.
Pelantikan Muhammad Faris didakwa dibuat berdasarkan salasilah Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 serta hukum adat ‘patah tumbuh’ yang termaktub dalam Fasal 5 Undang-Undang Sungei Ujong.
Berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan itu dikatakan disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selaku Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








