BERITA SEMASA

Muhammad Faris dilantik Undang Luak Sungei Ujong ke-11

SEREMBAN – Waris Klana Hulu sebulat suara melantik Muhammad Faris Johari sebagai Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dalam satu istiadat kerapatan yang berlangsung di Telaga Undang pada 22 April lalu.

Pelantikan itu dibuat secara muafakat oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko serta waris Klana Hulu, selaras dengan undang-undang adat yang berteraskan prinsip berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba.

Istiadat berkenaan turut diperkukuh oleh Ibu Soko dan waris Klana Hilir serta disaksikan barisan pemimpin adat termasuk Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, To’ Buapak Lingkungan selain pegawai kerajaan.

“Pemilihan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh termaktub pada Fasal 5 Undang-Undang Sungei Ujong,” menurut kenyataan media dikeluarkan Waris Nan Tua Klana Hulu, hari ini.

Pelantikan itu juga disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selaku Tua Lembaga Waris di-Darat yang diiktiraf Kerajaan Negeri Sembilan, sejajar dengan peruntukan Fasal 48 (VI) dokumen sama.

“Aturan adat menjadikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras dengan Fasal 14(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” kata kenyataan itu lagi.

Muhammad Faris, 28, merupakan Waris Klana Hulu yang berketurunan langsung Datuk Klana Petra Bador Datuk Penghulu Menteri Chantek, Undang Luak Sungei Ujong pertama mengikut nasab sebelah ibu.

Beliau juga mempunyai pertalian dengan tokoh-tokoh adat terkemuka termasuk Datuk Klana Petra Ma’amor, Undang Luak Sungei Ujong ke-8 serta Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah, Undang Luak Jelebu ke-12 yang dikenali sebagai ‘Singa Jelebu’.

Latar pendidikan beliau bermula di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA.

Pada 2022, beliau memperoleh kelayakan profesional Association of Certified Chartered Accountants (ACCA).

Kini, Muhammad Faris bertugas sebagai akauntan di sebuah firma insurans dan perundingan risiko multinasional yang beroperasi di lebih 130 negara.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab pada 20 April 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button