BERITA SEMASA

Peguam perjelas proses pemecatan YDPB Negeri Sembilan, persoal kepatuhan perlembagaan

KUALA LUMPUR – Isu dakwaan pemecatan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang sedang tular mencetuskan persoalan apabila terdapat kemungkinan keputusan berkaitan tidak dibuat selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKN9).

Peguam, Zainuddin Omar menjelaskan bahawa dalam kerangka perlembagaan, Undang yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dikenali sebagai ‘Ruling Chiefs’ atau Pembesar Memerintah yang berperanan sebagai pemerintah bersama dengan YDPB.

Menurut beliau, YDPB bertindak sebagai wakil kepada pemerintah bersama tersebut, namun sebarang keputusan penting berkaitan pemerintahan negeri perlu dibuat secara kolektif selaras dengan peruntukan UUTKN9.

Peguam
Zainuddin

Beliau berkata, pelantikan dan pemecatan seseorang Undang ditentukan mengikut adat di luak masing-masing, manakala Dewan Keadilan dan Undang hanya berperanan mengesahkan keputusan tersebut.

“Dalam kes Undang Luak Sungai Ujong, ibu soko waris yang berkenaan berhak menentukan kedudukan Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak.

“Di peringkat Dewan Keadilan dan Undang, oleh kerana fungsinya menyentuh adat Melayu, maka suatu keputusan tentang pengesahan dan penasihatan kedudukan Mubarak oleh YDPB hanya jika dipersetujui oleh majoriti Undang yang Empat. Prinsip ini termaktub dalam Perkara 28, 40(2)(d) UUTKN9,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Ibu Soko adalah istilah khusus kepada seseorang wanita di Negeri Sembilan yang mahir dan menjadi pakar rujuk dalam pelbagai perkara khususnya berhubung perjalanan adat.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun mempersoalkan sama ada keputusan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang pada 17 April lalu dibuat dengan persetujuan majoriti.

“Apa yang menimbulkan pertanyaan ialah tiga orang Undang dan Mubarak telah bulat menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta kerajaan Negeri Sembilan.

“Melihat kepada keadaan sekarang, seolah keputusan Dewan Keadilan dan Undang telah dibuat secara tidak mengikut peruntukan Perkara 7, 16, 28 dan 40(2)(d).

“Ini pastinya akan membawa kepada cabaran terhadap kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang boleh dianggap mendahului keputusan Dewan Keadilan dan Undang.

“Jika ini berlaku, maka penasihatan itu telah mengabaikan peruntukan UUTKN9 sekali gus kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong masih sah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Undang yang Empat sememangnya mempunyai kuasa prerogatif untuk melucutkan YDPB mengikut Perkara 10 UUTKN9, tertakluk kepada syarat tertentu seperti kecacatan, kelakuan mengaibkan atau pengabaian terhadap peruntukan perlembagaan negeri.

Menurutnya, Perkara 10(2) memperuntukkan bahawa YDPB akan terhenti daripada memegang jawatan sebaik sahaja diminta turun takhta oleh Undang yang Empat.

“Kuasa ini boleh dilaksanakan secara muafakat atau majoriti, dan selepas itu satu proklamasi perlu dibuat serta ditandatangani oleh Undang yang Empat dan Menteri Besar.

“Kegagalan MB untuk menandatangani proklamasi tersebut boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, keputusan Undang yang Empat turut dilindungi di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button