Polis buru dua suspek kes tembak depan pusat hiburan
ISKANDAR PUTERI – Polis sedang giat memburu dua suspek dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai, di sini yang mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang lagi malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat terkena tembakan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asistan Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan sebelum beberapa das tembakan dilepaskan ke arah mangsa.
“Seorang mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 27 tahun turut cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian sama.
BACA JUGA:
Lelaki maut ditembak depan pusat hiburan di Johor Bahru
Tambah beliau, polis turut percaya terdapat seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan namun identitinya masih belum dikenal pasti setakat ini.
“Mangsa dipercayai dibawa keluar dari lokasi kejadian oleh kenalannya selepas insiden berlaku dan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Menurut Kumarasan, polis kini sedang mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asistan Superintendan Afiq Izani di talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







