Sungai Skudai ‘dijajah’ ikan bandaraya: Setengah tan dikeluarkan dalam masa 4 jam
JOHOR BAHRU – Selepas sungai di Lembah Klang di Selangor, Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) mengenal pasti kebanjiran ikan tombot atau dikenali ikan bandaraya di Sungai Skudai, Johor.
Setiausaha Persatuan SPIA, Kapten Haziman Amli Hasan berkata, usaha menangkap ikan asing itu dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tiram (KSRT) serta Jabatan Perikanan Johor di Sungai Skudai di Kampung Pertanian, Kulai di sini, semalam.
Katanya, dominasi ikan bandaraya yang boleh mengancam keseimbangan ekosistem sungai itu amat mengejutkan.
“Sebanyak 560 kilogram ikan asing berjaya ditangkap dengan majoritinya adalah ikan bandaraya.
“Program dijalankan mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari semalam melibatkan seramai 138 sukarelawan.
“Sekali jala, kira-kira 30 hingga 40 kilogram ikan bandaraya dapat dikeluarkan, sekali gus menunjukkan ikan itu banyak di Sungai Skudai yang boleh memudaratkan ekosistem sungai terbabit.
“Selain Sungai Skudai, kami juga mengesan ikan bandaraya dengan kuantiti yang banyak di Sungai Klang, Selangor sehingga ada yang mencecah berat 2.2 kilogram seekor.
“Tidak mustahil keadaan sama boleh berlaku di Sungai Skudai kerana ikan berkenaan boleh hidup di air kotor,” katanya.
Ikan bandaraya yang dikenali sebagai suckerfish atau pterygoplichthys pardalis dan Pterygoplichthys Disjunctiva adalah spesies invasif yang berasal dari Amerika Selatan dan kini banyak ditemukan di sungai di negara ini.
Beliau berkata, ikan itu boleh mengakibatkan kerosakan pada struktur tanah di tebing kerana ia menggali lubang untuk bertelur.
Katanya, ikan itu juga tidak sesuai dimakan kerana dikhuatiri boleh memberi kesan sampingan susulan kandungan plumbum terutama apabila membiak di sungai yang berada di tahap tiga atau empat.
“Pelbagai pihak terutama institusi pengajian tinggi (IPT) sedang mengkaji bagi menjadikan ikan itu produk hiliran termasuk baja, palet ikan, kolagen, kalsium bagi haiwan dan sebagainya.
Sementara itu, nelayan, Mohd Azlan Khalid berkata, kewujudan ikan bandaraya menjejaskan pendapatan pihaknya.
“Sebelum ini sungai ini menjadi tempat pembiakan ikan keli dan siakap, namun kini ia semakin berkurangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















