BERITA SEMASA

Wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri nafi ganti Marina Ibrahim bertanding di Skudai

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Ng Siam Luang menafikan akan mewakili parti itu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Siam Luang yang juga wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dia tidak berhasrat untuk bertanding atau menyertai pilihan raya tersebut.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa cawangan parti yang telah mencalonkan saya sebagai calon. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada cawangan-cawangan dan rakan seperjuangan yang telah memberikan sokongan serta kepercayaan kepada saya.

“Ia merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna. Namun demikian, untuk menjadi seorang calon bukanlah hasrat saya.

“Sebagai sebahagian daripada keluarga DAP, sepanjang 20 tahun yang lalu saya bukan sahaja membantu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini seperti Lim Kit Siang, Liew Chin Tong, Boo Cheng Hau, Chen Ho Pin dan Marina Ibrahim dalam menguruskan hal ehwal kawasan, malah turut membantu calon-calon parti dan parti-parti gabungan di pelbagai kawasan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam pada itu Siam Luang berkata, dia akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang diletakkan oleh DAP dalam PRN tersebut.

“Siapa pun calonnya, prinsip saya tetap sama, iaitu berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan komuniti melalui perjuangan parti.

“Pasukan Skudai telah berganding bahu selama bertahun-tahun dalam mempertahankan kawasan ini. Tidak kira siapa yang dipilih oleh parti untuk bertanding, kami sentiasa memberikan sokongan penuh sebelum pilihan raya dan terus bekerjasama dengan wakil rakyat yang dipilih selepas pilihan raya demi berkhidmat kepada rakyat.

“Komitmen ini kekal tidak berubah sejak dua dekad yang lalu. Apa jua keputusan kepimpinan pusat dan negeri DAP berhubung calon yang akan diturunkan di Skudai, saya akan terus meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial apabila Siam Luang dikaitkan bakal bertanding di PRN Johor bagi menggantikan Marina Ibrahim di DUN Skudai.

ADUN Skudai, Marina Ibrahim

Difahamkan Marina akan dipindahkan ke kerusi DUN lain namun memilih untuk berundur dari pentas politik selepas diarahkan bertukar kerusi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button