BERITA SEMASADALAM NEGERI

ADUN Skudai beri amaran jerat ‘cinta palsu’ warga asing

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengingatkan wanita tempatan khususnya yang berusia agar lebih berhati-hati dalam menjalin hubungan dengan warga asing yang menggunakan perkahwinan sebagai taktik untuk mengambil kesempatan.

Menurut beliau, terdapat kes perkahwinan luar biasa membabitkan jurang usia ketara, seperti seorang wanita tempatan berusia 65 tahun yang berkahwin dengan lelaki warga asing dalam lingkungan usia 20-an.

Fenomena itu menurutnya bukan perkara baharu, malah telah menjadi modus operandi segelintir lelaki warga asing untuk mendapatkan kemudahan tertentu termasuk kewarganegaraan, tempat tinggal dan sumber kewangan.

“Bukan nak tolak ketentuan jodoh. Kalau ikhlas, memang bagus. Tapi saya kesal apabila ada wanita yang dipergunakan, ditipu dan akhirnya merana,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Marina turut berkongsi satu kes yang pernah ditanganinya tahun lalu, melibatkan seorang bekas penjawat awam berusia lewat 50-an yang menjadi mangsa cinta palsu seorang tukang sapu warga asing.

Wanita itu mula didekati selepas pulang dari kerja apabila lelaki berkenaan secara tiba-tiba menegurnya di hadapan rumah.

Lebih membimbangkan, lelaki itu mendapat nombor telefonnya daripada jiran tanpa kebenaran.

Walaupun mendapat tentangan keras daripada ahli keluarga, wanita itu akhirnya berkahwin dengan lelaki berkenaan setelah dirayu dengan kata-kata cinta dan perhatian yang dirasakan ‘suci’.

Marina menyeru agar golongan wanita terutama yang berstatus ibu tunggal atau sudah berusia agar lebih berhati-hati apabila didampingi lelaki asing yang kelihatan terlalu ‘sempurna’ dan ‘romantis’.

“Saya sendiri tengok gambar lelaki itu, memang hensem. Mata hijau, tinggi, hidung mancung macam model,” ujar Marina.

Namun, kegembiraan itu tidak lama. Setelah berkahwin, lelaki berkenaan menunjukkan perangai sebenar iaitu menggunakan isterinya untuk dapatkan kereta, membuat pinjaman dan terjebak dalam gaya hidup liar.

Dalam satu kejadian, suami membawa isteri dan anak ke kawasan terkenal dengan aktiviti tidak bermoral di tengah bandaraya Johor Bahru.

“Akak tu tanya kenapa berhenti dekat situ. Lelaki tu cakap nak tengok sebab dia selalu langgan. Siap paksa isteri dia tengok ‘komuniti’ kat lorong tu,” kata Marina lagi.

Lebih memburukkan keadaan, suami wanita itu disahkan menghidap penyakit kelamin sifilis dan turut menjangkiti isterinya.

Tidak cukup dengan itu, berlaku keganasan rumah tangga apabila suami bertindak memukul kepala wanita itu hingga berdarah.

“Satu hari dia balik kerja, nampak suami pakai uniform kerjanya sambil selfie dalam bilik. Bila ditegur, suami ketuk kepala dia dengan barang keras,” kongsi Marina.

Wanita itu akhirnya dibebani hutang akibat pinjaman peribadi demi menampung gaya hidup suami.

Lebih memilukan, beliau juga dipercayai menjadi mangsa penipuan kewangan oleh suami sendiri.

Apabila keadaan kewangan wanita itu teruk, suami tersebut mula mencari mangsa baharu dengan taktik sama.

Wanita itu akhirnya terpaksa berhenti kerja dan mengalami tekanan perasaan yang serius, malah dua anak perempuannya juga menunjukkan tanda kemurungan sehingga mempunyai kecenderungan untuk mencederakan diri.

“Saya tanya dia, akak pernah tanya tak kalau-kalau anak akak pernah dianiaya oleh suami? Anak dia dua orang perempuan. Tak semua anak berani nak cerita pada mak,” jelasnya.

Kes itu akhirnya dirujuk ke pejabat agama untuk tindakan lanjut dengan bantuan Marina sendiri.

Marina menegaskan bahawa kes seperti ini bukan terpencil dan tidak wajar dipandang ringan.

Beliau menyeru agar wanita-wanita terutama yang berstatus ibu tunggal, duda atau sudah berusia, lebih berhati-hati apabila didampingi lelaki asing yang kelihatan terlalu ‘sempurna’ dan ‘romantis’.

“Tolong siasat latar belakang pasangan, dengar nasihat keluarga dan jangan terlalu mudah percaya hanya kerana rupa paras atau ayat-ayat manis,” katanya.

Marina juga menasihatkan agar masyarakat berhati-hati dalam memberikan maklumat peribadi kepada jiran atau kenalan yang belum tentu boleh dipercayai, kerana ia boleh menjadi pintu masuk kepada pelbagai masalah lain.

“Ini bukan soal jodoh, ini soal keselamatan, maruah dan masa depan,” tegas Marina sambil menyeru agar pihak berkuasa turut memantau dan mengekang modus operandi warga asing yang mempergunakan institusi perkahwinan demi kepentingan sendiri.

Wanita-wanita tempatan dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mendapatkan pandangan keluarga serta pihak berwajib sebelum membuat keputusan besar dalam hidup agar tidak terjerumus dalam perangkap cinta yang memusnahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button