LUAR NEGARA

Letusan Gunung Dukono: Tiga maut, 20 pendaki masih hilang

MALUKU UTARA – Tiga pendaki disahkan maut manakala 20 lagi masih hilang selepas Gunung Dukono meletus pagi tadi dalam kejadian yang mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran di kawasan berkenaan.

Gunung berapi aktif di wilayah Maluku Utara itu dilaporkan meletus pada pukul 7.41 pagi waktu tempatan dengan memuntahkan abu vulkanik setinggi kira-kira 10 kilometer ke udara.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan, letusan tersebut turut disusuli bunyi dentuman yang dapat didengar di sekitar kawasan gunung berapi itu.

Ketua agensi penyelamat tempatan, Iwan Ramdani berkata, operasi SAR sedang giat dijalankan membabitkan puluhan anggota penyelamat serta polis bagi mengesan kumpulan pendaki yang dipercayai terperangkap akibat letusan berkenaan.

Menurut beliau, sembilan daripada 20 pendaki yang masih hilang merupakan warga Singapura.

“Keadaan di lokasi masih berbahaya berikutan aktiviti vulkanik yang berterusan selain kawasan sekitar diliputi abu tebal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu mengesahkan tiga pendaki termasuk dua warga asing ditemukan maut dalam insiden tersebut.

Gunung Dukono sebelum ini telah ditutup kepada pengunjung sejak 17 April lalu selepas pihak berkuasa mengesan peningkatan aktiviti gunung berapi berkenaan.

Penduduk dan pelancong sebelum ini turut diarahkan supaya tidak menghampiri kawasan dalam radius empat kilometer dari kawah Malupang Warirang yang menjadi pusat letusan.

Gunung Dukono merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dengan hampir 200 letusan direkodkan sejak Mac lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button