HASiL, CTIM perkasa ekosistem cukai menerusi Tax Forum 2026
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama strategik Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) hari ini menganjurkan HASiL-CTIM Tax Forum 2026 bagi memperkasakan pematuhan strategik dan pengurusan risiko dalam landskap percukaian negara yang semakin dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, menegaskan bahawa penganjuran forum ini adalah manifestasi komitmen HASiL dalam memastikan pembayar cukai bersedia menghadapi era transformasi digital.
“HASiL komited memperkukuh budaya pematuhan sukarela melalui pendidikan dan libat urus strategik.
“Ini penting bagi memastikan pembayar cukai dapat mengurus tanggungjawab mereka dengan lebih yakin, tepat, dan berintegriti dalam persekitaran yang kian berubah,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Seiring dengan itu, Presiden CTIM, Soh Lian Seng, menyifatkan forum ini sebagai platform penting untuk mewujudkan dialog konstruktif antara pihak berkuasa dan pemain industri.
Menurutnya, inisiatif ini membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan pembayar cukai terhadap perubahan dasar ekonomi semasa agar sistem percukaian negara kekal progresif dan responsif.
Forum bertemakan “Navigating Compliance and Managing Related Risks” itu diadakan secara hibrid di Hotel Berjaya Times Square dan melalui aplikasi Zoom, melibatkan lebih 800 peserta yang terdiri daripada pengamal percukaian, wakil agensi kerajaan, serta pemain industri korporat.
Penganjuran HASiL-CTIM Tax Forum 2026 ini dijangka terus menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara kerajaan dan pengamal industri, sekali gus membentuk sistem percukaian Malaysia yang lebih mampan, dinamik, dan berdaya saing di peringkat global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








