DARE Edisi ke-8 gegar Sungai Petani, ribuan pengunjung hadir
SUNGAI PETANI – Program Darul Aman Retro Edisi Ke-8 (DARE) sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung di Dataran Jam Besar Sungai Petani pada 2 dan 3 Mei lalu.
Mengangkat tema “Nostalgia Kedah Tua”, penganjuran itu menampilkan suasana klasik yang mengimbau kehidupan masyarakat lampau, sekali gus menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk peminat budaya retro dari seluruh negara.
Pengarah program, Arahman Ahmad berkata, penganjuran DARE bertujuan mengangkat semula warisan negeri Kedah agar terus dihargai generasi masa kini.
“Program ini bukan sekadar hiburan, tetapi usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah dan budaya tempatan yang semakin dilupakan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Sepanjang dua hari berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran kenderaan klasik, motosikal retro, pertandingan busana tradisional serta permainan rakyat.
Selain itu, ‘Selam Fest’ yang menawarkan jualan barangan bundle dan preloved turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan penyanyi legenda, Ramli Sarip selain kemunculan selebriti seperti Amir Raja Lawak dan Mat Khuda yang menceriakan suasana.
Sejak diperkenalkan pada 2012, program itu terus berkembang dan pernah diadakan di beberapa lokasi lain termasuk Jitra, Alor Setar serta Pulau Pinang.
Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Kuala Muda dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah.
Selain menghidupkan semula budaya klasik, program berkenaan turut memberi kesan positif kepada ekonomi setempat apabila peniaga kecil dan usahawan tempatan menerima limpahan pengunjung.
Dengan sambutan memberangsangkan, DARE dilihat berpotensi terus berkembang sebagai acara tahunan yang mampu memartabatkan warisan serta identiti negeri Kedah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















