JENAYAH & MAHKAMAH

Suami isteri maut dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki mabuk

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan di Jalan Ampang berhampiran Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.34 pagi itu, mangsa lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 24 tahun.

Menurutnya, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki pasangan terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu serta dua penumpang kereta turut mengalami kecederaan.

“Pemandu dan penumpang hadapan cedera di kepala dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

“Pemandu disyaki berada di bawah pengaruh alkohol. Sampel darah dan air kencing telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut,” katanya lagi.

Tambah beliau, penumpang belakang berusia 24 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis atau tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button