JENAYAH & MAHKAMAH

Graduan baru tamat pengajian dituduh memandu dalam keadaan mabuk, sebabkan 2 penuntut kolej maut

KUALA LUMPUR – Seorang graduan yang baru menamatkan pengajian di universiti luar negara didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu kereta bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian dua penuntut kolej, kelmarin.

Tertuduh, Lim Cong Li,23, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut pertuduhan, graduan jurusan Pengurusan Perniagaan dan Logistik itu didapati memandu sebuah kereta Mercedes C200 ketika berada di bawah pengaruh alkohol iaitu 114 miligram dalam 100 mililiter sehingga menyebabkan kematian dua lelaki, S. Dinesh Raj dan R. Panthalaraasan yang kedua-duanya berusia 22 tahun.

Kesalahan dilakukan di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur pada pukul 6.43 pagi, 10 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Vincent Lawrence yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Sebelum ini anak guam sudah direman dan hadir ke mahkamah tanpa paksaan ini menunjukkan tiada niat untuk melarikan diri,” katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Fatin Dayana membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan dan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dibicarakan dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan kes.

Laporan media sebelum ini menyebut, dua pelajar kolej maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk dua buah motosikal di Jalan Cheras, di sini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button