TPM tekan lima fokus pembaharuan pendidikan negara
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggariskan lima fokus utama dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara agar lebih inklusif, progresif dan berteraskan nilai.
Beliau berkata, keutamaan pertama adalah mewujudkan sistem pendidikan pelbagai laluan yang lebih anjal dan adil, mengambil kira kepelbagaian bakat pelajar.
Menurutnya, tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, justeru laluan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tahfiz, digital, keusahawanan, seni, sukan serta inovasi perlu diperkasa secara seimbang.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap anak mendapat peluang mengikut potensi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan memperluas akses pendidikan prasekolah berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak serta dalam kalangan komuniti rentan.
Katanya, pendidikan awal yang kukuh menjadi asas penting dalam membentuk perkembangan individu sepanjang hayat.
Selain itu, beliau turut menggesa agar Wakaf Pendidikan Bumiputera diperkasakan sebagai sumber pembiayaan alternatif bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
“Tradisi wakaf perlu dihidupkan semula bagi menyediakan biasiswa dan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, peranan guru perlu dimartabatkan memandangkan golongan itu bukan sekadar penyampai ilmu, sebaliknya pembina sahsiah dan jiwa pelajar.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan menjaga kebajikan guru termasuk aspek latihan, beban tugas serta kemudahan sekolah supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pendidikan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan hala tuju pendidikan negara perlu jelas dan tidak wajar dipolitikkan.
“Pendidikan bukan sekadar mengejar kedudukan atau memenuhi kehendak pasaran kerja, sebaliknya mesti bersifat menyeluruh dan berpaksikan nilai,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








