BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kempen Internet Selamat di sekolah perlukan dokongan KPM – Teo Nie Ching

KENINGAU – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperluas pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) ke negeri Sabah dengan penganjurannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, di sini semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kempen berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif yang sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan fokus kepada golongan murid sekolah rendah.

Menurutnya, sebanyak 120 murid Tahun 1 hingga Tahun 3 dari SK Pasir Puteh menyertai kempen tersebut, menjadikan sekolah itu yang pertama di daerah Keningau melaksanakan program KIS menggunakan modul khas bagi kanak-kanak berumur antara tujuh hingga sembilan tahun.

“Modul ini direka khusus untuk memberi pemahaman asas kepada pelajar mengenai penggunaan internet secara bertanggungjawab, fungsi aplikasi dalam talian serta memberi kesedaran awal tentang risiko dan ancaman siber,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jelas beliau, antara pendedahan yang diberikan ialah mengenai had umur minimum 13 tahun ke atas bagi memiliki akaun media sosial sebagai usaha menanam nilai disiplin dalam penggunaan internet sejak di peringkat awal.

Teo turut menjelaskan, antara komponen penting yang diketengahkan dalam kempen ini ialah kesedaran terhadap bahaya penggunaan internet secara berlebihan dan usaha menggalakkan pelajar meneroka aktiviti alternatif yang lebih sihat dan bermanfaat.

“Pendekatan ini diharap dapat memperkasa pelajar dengan asas literasi digital, kefahaman tentang risiko seperti buli siber dan pengantunan (grooming), serta cara menggunakan internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kempen Internet Selamat diyakini mampu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dalam talian, memupuk kesedaran awal serta menyemai budaya penggunaan internet yang positif dan selamat dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan harapan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat memberikan sokongan padu dalam menjayakan kempen berkenaan secara lebih meluas di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button