Tiada sebab kuasa besar kawal Selat Melaka – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa kawalan Selat Melaka tidak memerlukan campur tangan kuasa luar memandangkan laluan strategik tersebut kekal selamat di bawah pengurusan negara serantau.
Mohamed Khaled turut menyatakan bahawa sebarang keputusan atau cadangan masa depan melibatkan perairan itu mestilah dipersetujui secara kolektif oleh negara-negara berkepentingan di rantau ini.
“Sebarang perkara berkaitan Selat Melaka mesti diputuskan secara bersama oleh negara yang berada di kawasan ini, iaitu Indonesia, Singapura, Malaysia dan Thailand.
“Selat Melaka berada dalam keadaan aman, tiada halangan kepada kapal untuk lalu lalang dan tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau besar menyatakan hasrat untuk mengawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Tambahnya, negara di rantau ini mempunyai keupayaan sendiri untuk mengurus serta memastikan keselamatan laluan berkenaan tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.
Terdahulu, timbul desas-desus mengenai hasrat Amerika Syarikat untuk mengambil alih kawalan Selat Melaka.
Sementara itu, mengenai laporan Indonesia sedang menimbang memperkenalkan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, Mohamed Khaled memaklumkan, beliau senada dengan pendirian Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sebaliknya perlu berasaskan konsensus ASEAN dalam mengekalkan keselamatan maritim laluan penting itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








