BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Pembinaan tiga kapal LMS di Türkiye berjalan lancar – Khaled Nordin

ISTANBUL – Pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch Kedua bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Istanbul Shipyard, Türkiye berjalan lancar, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, pembinaan kapal tersebut yang dilaksanakan oleh syarikat pertahanan Türkiye, Savunma Teknolojileri Mühendislik (STM) merupakan perolehan pertama hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Türkiye.

Menurut beliau, MoU berkenaan dimeterai semasa lawatan rasmi sulungnya ke Türkiye pada Jun tahun lalu, sekali gus menandakan pendekatan baharu kerajaan dalam urusan perolehan pertahanan.

“Saya telah mengambil peluang untuk meninjau kemajuan pembinaan tiga buah LMS Batch Kedua sempena lawatan kerja ke Republik Türkiye,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamed Khaled berkata, beliau turut menerima taklimat mengenai pembinaan ketiga-tiga kapal berkenaan oleh pihak pengurusan STM di Istanbul Shipyard.

“Pembinaan berjalan lancar dan kapal pertama dijangka diluncurkan pada April 2026, diikuti kapal kedua pada Jun dan kapal ketiga pada Ogos tahun sama,” katanya.

Tambah beliau, perolehan LMS Batch Kedua itu turut melibatkan pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberi impak besar kepada pembangunan industri pertahanan tempatan khususnya melalui pemindahan teknologi.

“ICP ini akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini. Türkiye sendiri melalui proses yang serupa sebelum berjaya muncul sebagai antara negara pengeluar utama produk pertahanan,” ujarnya.

Mohamed Khaled turut menzahirkan keyakinan kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye akan melonjakkan kemajuan industri pertahanan tempatan dan pada masa sama memperkukuh kedaulatan negara.

“Malaysia mempunyai aspirasi yang sama. Semoga hubungan erat antara kedua-dua negara ini akan terus memberi manfaat kepada pembangunan pertahanan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button