Tiada keputusan unilateral Selat Melaka, perlu konsensus serantau – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang keputusan unilateral boleh dibuat berhubung pengurusan dan keselamatan di Selat Melaka, sebaliknya perlu melibatkan persetujuan bersama negara berkepentingan di rantau ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai persefahaman kukuh dalam memastikan keselamatan laluan perkapalan tersebut melalui kerjasama rondaan bersama.
“Apa sahaja yang ingin dilakukan di Selat Melaka mesti membabitkan kebersamaan keempat-empat negara tersebut. Ia tidak boleh dibuat secara bersendirian,” memetik BH online.
Menurutnya, pendekatan konsensus merupakan asas utama dalam kerangka kerjasama ASEAN, termasuk dalam isu keselamatan maritim.
“ASEAN semuanya berasaskan konsensus, malah di peringkat jawatankuasa kecil sekalipun, semuanya berdasarkan prinsip tersebut,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat dalam situasi ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada laluan strategik maritim termasuk Selat Melaka.
Mohamad turut berkata, Malaysia akan terus memperkukuh konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta mengekalkan kepusatan ASEAN dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Malaysia perlu mengamalkan pendekatan berkecuali secara aktif dan tidak terperangkap dalam percaturan politik kuasa besar dunia.
“Kita sebuah negara perdagangan dengan ekonomi terbuka dan berdagang dengan semua pihak. Kita tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana pihak kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








