BERITA SEMASA

Bangunkan semula Gaza satu penghormatan buat Malaysia – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam usaha membantu membangunkan semula Gaza sebagai satu penghormatan besar bagi Malaysia.

Menjawab kritikan pihak yang tidak bersetuju dengan usaha tersebut, Mohamad Hasan berkata, Malaysia mempunyai tanggungjawab antarabangsa untuk terus menyokong perjuangan kebebasan Palestin.

Jelas Mohamad, walaupun inisiatif itu akan memakan belanja yang tinggi, ia tidak bermakna negara sendiri akan diabaikan.

“Ada yang kata umpama kera di hutan, anak di rumah mati kelaparan. Kita tak susu kera di hutan dan anak di rumah tak mati pun. Ini tanggungjawab antarabangsa sebagai negara sokong Palestin jadi negara merdeka.

“Kerjasama dan usaha ini akan bawa negara sepemikiran bersama fikirkan bagaimana nak bina semula Palestin yang (akan) ambil masa yang panjang,” kata Ahli Parlimen Rembau itu ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung perancangan kerajaan selepas menjadi pengerusi bersama Jepun bagi Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (Ceapad), serta mengulas kritikan terhadap usaha membangunkan semula Gaza.

Pada 29 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid sebagai sebahagian inisiatif yang lebih luas dengan kerjasama Jepun.

Susulan itu, bekas menteri Rafidah Aziz mengkritik usaha tersebut dengan menyatakan bahawa Putrajaya harus memberi perhatian kepada kepentingan Malaysia terlebih dahulu, khususnya dengan merujuk kepada keadaan daif kebanyakan sekolah di luar bandar serta kekurangan di hospital kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button