Pesara tentera didakwa hantar komen jelik hina hakim dan agong
SEPANG – Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap seorang hakim dan institusi diraja di media sosial, Disember lalu.
Tertuduh, Marzuki Ismail, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pindaan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang.
Mengikut kertas pertuduhan, Marzuki didakwa menggunakan akaun Facebook Marzuki Ismail secara sedar bagi menghantar komen yang bersifat jelik melampau yang menyentuh sensitiviti kaum serta mempertikaikan kuasa titah Yang di-Pertuan Agong.
Hantaran tersebut dikesan pada 24 Disember 2025 di Menara MCMC, Cyberjaya, setelah dimuat naik pada 22 Disember 2025 kira-kira jam 5.30 petang.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada mulanya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh yang telah berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan tentera kini hanya bergantung kepada wang pencen RM1,400 sebulan untuk menyara dua anak yang masih belajar serta menghidap penyakit diabetes.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








