Kerajaan negeri tidak iktiraf tindakan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan – Aminuddin
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri SembilanTuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong hari ini tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan memaklumkan ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau berkata pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
“Tindakan tersebut tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menambah bahawa tindakan tersebut juga tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 dalam UUTKNS.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru semua pihak agar menghormati keputusan yang telah dibuat mengikut adat dan undang-undang bagi memastikan kestabilan institusi adat di Negeri Sembilan terus terpelihara.
Aminuddin berkata, fungsi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) adalah sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat Melayu termasuk pelantikan dan pemberhentian Undang Luak.
Menurut beliau, pemberhentian Mubarak telah dibuat oleh Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungai Ujong sejak 13 Mei 2025 berdasarkan adat dan pesaka yang berkuat kuasa.
“Sidang Khas DKU pada 17 April 2026 telah bersetuju menasihati dan menerima kesepakatan Telaga Undang untuk memberhentikan beliau selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS,” katanya.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat susulan 33 kesalahan berkaitan adat dan pesaka yang dikaitkan dengan Datuk Mubarak.
Tambah Aminuddin, tindakan seumpama itu bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini DKU pernah menerima pemberhentian Undang Luak Johol Ke-14 pada 27 Mac 2016 atas kesalahan berkaitan adat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





