AGC teliti cadangan tubuh tribunal khas pampasan mangsa jenayah
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti cadangan penubuhan tribunal khas bagi menguruskan tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.
Peguam negara, Tan Sri Mohd Dusuki
Mokhtar berkata, cadangan itu memerlukan kajian menyeluruh bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, selain perlu diselaraskan dalam kerangka perundangan sedia ada.
“AGC sedang meneliti cadangan penubuhan tribunal seperti yang dicadangkan. Jika ditubuhkan, ia wajar dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang sudah ada,” memetik Buletin TV3 online.
Cadangan penubuhan tribunal khas itu timbul susulan pandangan pakar kriminologi yang mencadangkan satu mekanisme lebih konsisten dalam menentukan pampasan kepada mangsa jenayah, berbanding bergantung sepenuhnya kepada keputusan mahkamah jenayah.
Pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid, sebelum itu mencadangkan pelaksanaan tribunal berkenaan melibatkan beberapa kaedah termasuk pembentukan panel campuran.
Cadangan itu turut menerima maklum balas positif daripada pakar perlembagaan yang melihat langkah tersebut relevan, namun menekankan keperluan perbicaraan berasingan daripada kes jenayah utama.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Danial Farhan berpandangan bahawa walaupun tribunal khas mempunyai nilai dari sudut dasar, terdapat kaedah lebih cepat dan praktikal untuk dilaksanakan, iaitu melalui mekanisme mediasi.
“Menerusi mediasi, keluarga mangsa boleh berunding secara terus mengenai jumlah pampasan tanpa perlu melalui proses panjang di mahkamah atau menunggu penubuhan tribunal baharu,” katanya lagi.
Beliau berkata, fokus utama reformasi seharusnya tertumpu kepada memastikan mangsa atau waris menerima pampasan dengan cepat, adil dan tanpa birokrasi yang berpanjangan.
Terdahulu, cadangan itu juga dilihat sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem keadilan negara, khususnya dalam kes melibatkan kematian akibat jenayah seperti kemalangan jalan raya atau pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Dusuki sebelum ini dilaporkan akan mengarahkan semua Timbalan Pendakwa Raya untuk meneliti dan memfailkan permohonan pampasan bagi pihak keluarga mangsa jenayah sebagai langkah segera memperkasakan hak mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















