BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran hukum gantung dua lelaki terlibat sabotaj menjatuhkan republik itu

TEHRAN – Iran semalam melaksanakan hukuman gantung dua lelaki yang disabitkan kesalahan menganggotai kumpulan pembangkang yang diharamkan dan terlibat dalam aktiviti sabotaj bagi menjatuhkan Republik Islam, menurut pihak kehakiman negara itu.

Pelaksanaan hukuman tersebut merupakan yang terbaharu dalam siri tindakan terhadap anggota kumpulan People’s Mujahedin of Iran (MEK), selepas empat lagi individu yang disabitkan kesalahan sama dihukum mati awal minggu ini.

Perkembangan itu berlaku dalam suasana tegang susulan konflik Iran dengan Amerika Syarikat sehingga mengorbankan pemimpin tertinggi Iran dan mencetuskan ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Laman web Mizan Online milik badan kehakiman negara itu melaporkan, dua lelaki berkenaan, dikenal pasti sebagai Abolhassan Montazer dan Vahid Baniamerian dihukum gantung selepas melalui proses perbicaraan dan rayuan yang dikekalkan oleh Mahkamah Agung.

Menurut laporan itu, kedua-duanya didapati bersalah atas tuduhan melakukan ‘pemberontakan melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti keganasan’, selain menjadi anggota MEK serta menjalankan operasi sabotaj dengan tujuan menggulingkan kerajaan.

Bagaimanapun, tarikh penahanan kedua-dua lelaki itu tidak didedahkan.

MEK yang pernah menyokong Revolusi Iran 1979 sebelum berpecah dengan kepimpinan negara pada era 1980-an kini beroperasi di luar negara dan diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Tehran.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, Iran kekal sebagai antara negara yang paling banyak melaksanakan hukuman mati di dunia, kedua selepas China.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button