Suami maut, anak parah MPV dipandu isteri terbabas
TANGKAK – Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 155.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Sufaat Aini, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa bersama isteri dan anak mereka dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru.
Menurutnya, MPV berkenaan dipandu isteri mangsa berusia 41 tahun sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di sebelah kiri lebuh raya.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” memetik BH online.
Beliau berkata, anak perempuan mangsa berusia lapan tahun yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan pada badan dan muka sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gambir, Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Mangsa didapati tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Isteri mangsa yang memandu kenderaan tersebut terselamat dalam kejadian itu,” katanya lagi.
Tragedi berkenaan sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















