POLITIK

Ramalan BERSATU akan terkubur tidak berasas, jauh meleset – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Ramalan bahawa Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terkubur akibat kemelut dalaman dihadapinya adalah tidak berasas dan jauh meleset.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, beliau yakin BERSATU mampu menguruskan hal dalaman parti dengan baik.

“Perkara itu (Bersatu akan terkubur) jauh sekali. Saya membaca laporan yang disiarkan oleh beberapa netizen yang memberikan pandangan sedemikian hanya kerana mereka mendengar perkembangan yang telah berlaku dan sedang berlaku dalam parti saya, serta tindakan tegas yang telah kami ambil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Dan syukur, dengan tindakan yang kami ambil, bukan sahaja mereka yang melakukan kesalahan politik dalam parti telah dibawa ke Lembaga Disiplin, malah tindakan juga telah diambil,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, BERSATU juga sudah melengkapkan semua langkah penambahbaikan dalam parti berkenaan.

“Terdapat beberapa individu dan pemimpin BERSATU yang membuat pelbagai pengumuman, termasuk mengumumkan bahawa bahagian parti mereka telah dibubarkan.

“Dalam perlembagaan parti, hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang mempunyai kuasa untuk membubarkan mana-mana bahagian di seluruh negara.

“Oleh itu, semua kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu adalah tidak tepat,” kata Muhyiddin sambil menambah bahawa tujuan kenyataan tersebut tidak lain adalah untuk memberi gambaran bahawa BERSATU sedang dilanda kemelut dalaman.

Beliau seterusnya memberi jaminan, khususnya kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bahawa beliau yakin BERSATU mampu menguruskan hal parti serta urusan dalaman dengan baik.

“Kerana kita sedar kedudukan BERSATU dalam Perikatan adalah penting.

“Perikatan sendiri adalah gabungan parti politik antara Parti PAS, BERSATU, GERAKAN, dan MIPP yang bagi kami mempunyai masa depan yang sangat cerah.

“Malah ada yang mengatakan kami adalah ‘kerajaan menunggu’, insya-Allah,” katanya lagi.

Mengenai isu Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), satu gabungan tidak rasmi yang mengandungi kira-kira 14 parti, Muhyiddin berkata, mereka telah bersetuju untuk mengukuhkan kedudukannya dengan menubuhkan sekretariat bersama, di mana setiausaha agung parti-parti terlibat boleh duduk bersama untuk berbincang dan merangka program bagi mengukuhkan IPR.

“Kami telah berbincang bahawa mungkin terdapat beberapa pilihan yang akan diputuskan, mungkin dalam masa terdekat.

“Sebagai salah seorang timbalan pengerusi Perikatan, saya akan membawa perkara ini kepada kepimpinan tertinggi untuk mempertimbangkan bentuk kerjasama yang perlu diwujudkan.

“Antara pertimbangan yang mungkin dibuat ialah sama ada mereka boleh menyertai Perikatan Nasional secara langsung, yang mana terdapat beberapa rakan dalam IPR berminat menyatakan hasrat mereka atau membentuk satu pakatan khusus bagi menghadapi pilihan raya tersebut, Katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button