Samun bersenjata di kebun sawit: Mangsa diikat, ditendang sebelum Hilux dilarikan
KUALA LANGAT – Seorang lelaki tempatan berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa samun bersenjata parang oleh dua lelaki dalam kejadian di sebuah kebun sawit di Bukit Perah, Banting, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.15 pagi.
Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, mangsa didatangi dua lelaki dipercayai warga tempatan yang mendakwa tersesat dan bertanyakan jalan keluar.
“Bagaimanapun, salah seorang suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang sebelum mengikat tangan dan kaki mangsa.
“Suspek turut menendang muka mangsa sehingga menyebabkan bibirnya pecah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih bernombor pendaftaran WYP951 milik mangsa, selain sebuah telefon bimbit jenama Oppo serta beberapa barangan peribadi termasuk dokumen penting dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM9,500.
Mohd Akmalrizal berkata, hasil siasatan dan risikan polis, kenderaan tersebut berjaya ditemui semula kira-kira sejam selepas kejadian apabila ditinggalkan di tepi Jalan Prima Puchong, Selangor.
“Kenderaan itu dijumpai dalam keadaan ditinggalkan oleh suspek,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis kini giat mengesan suspek yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








