Imigresen tumpaskan sindiket seludup PATI warga Pakistan
CYBERJAYA – Jabatan Imgresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didalangi warganegara Pakistan, baru-baru ini.
Menurut Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, sindiket tersebut ditumpaskan menerusi satu operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi di sekitar Kelantan pada 11 Sept lalu.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup PATI dari Pakistan dengan menaiki pesawat dan mendarat di Thailand.
“PATI itu kemudiannya akan dibawa melalui pangkalan haram melintasi sempadan Malaysia – Thailand,” kata Ruslin dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak Mei 2022 itu didapati menguruskan penyeludupan PATI berasal dari Pakistan yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram serta menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini.
“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia. Kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” jelas Ruslin.
Dalam operasi khas berkenaan, JIM berjaya menahan sebanyak lapan individu yang terdiri daripada dalang utama sindiket, transporter, dan enam PATI dengan kesemuanya merupakan warga Pakistan.
“Dalang utama sindiket ini adalah merupakan lelaki Pakistan dan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang dan merupakan suami kepada warganegara, manakala transporter yang juga merupakan lelaki Pakistan didapati memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku,” kata Ruslin lagi.
JIM turut berjaya merampas wang tunai berjumlah RM2,000, lapan naskhah pasport Pakistan yang tidak mempunyai Cap Masuk ke Malaysia, sebuah kenderaan MPV dan sebuah kenderaan sedan yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyeludupan.
Dalang utama dan transporter disiasat dibawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam PATI lelaki Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Kesemua suspek termasuk PATI kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan untuk siasatan lanjut dan tindakan lanjut.