LUAR NEGARA

Rubio gesa Iraq perketat keselamatan Kedutaan AS di tengah protes pro-Iran

WASHINGTON – Amerika Syarikat menggesa kerajaan Iraq meningkatkan perlindungan terhadap kedutaannya di Baghdad susulan protes ganas yang tercetus sebagai tanda solidariti terhadap Iran.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyampaikan gesaan itu dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, memetik laporan agensi berita antarabangsa.

Beliau menekankan kepentingan kerajaan Iraq mengambil semua langkah perlu bagi melindungi kakitangan diplomatik serta fasiliti milik AS.

marco rubio
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
marco rubio
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Menurut jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, Rubio turut mengecam serangan yang dikaitkan dengan Iran serta kumpulan militan pro-Tehran di Iraq termasuk di wilayah Kurdistan.

Sebelum ini, Iran melancarkan serangan terhadap kumpulan militan Kurdish Iran yang berpangkalan di Iraq selepas Presiden AS, Donald Trump menyatakan sokongan terhadap serangan balas oleh kumpulan terbabit ke atas Iran.

Bagaimanapun, Trump kemudiannya menarik balik kenyataan itu dan menegaskan bahawa beliau tidak menyokong serangan puak Kurdish terhadap Tehran.

Iran diketahui mempunyai pengaruh yang kuat di Iraq.

Terdahulu, kumpulan penunjuk perasaan dilaporkan cuba menyerbu Zon Hijau di Baghdad, kawasan keselamatan tinggi yang menempatkan kedutaan AS, beberapa kedutaan asing lain serta bangunan penting kerajaan.

Pihak berkuasa Iraq minggu lalu turut menuduh sebahagian penunjuk perasaan melepaskan tembakan sehingga mencederakan anggota keselamatan yang mengawal kawasan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump sebelum ini memberi amaran kepada kepimpinan Iraq supaya tidak menggantikan al-Sudani dengan bekas Perdana Menteri, Nouri al-Maliki yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Iran.

Hubungan al-Maliki dengan Washington dilaporkan merosot ketika perang Iraq dan beliau sebelum ini memberitahu pemberita bahawa tidak akan menarik balik pencalonannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button