BERITA SEMASALUAR NEGARA

Israel serang depot simpanan minyak di Tehran

TEHERAN Pesawat tempur Israel dilaporkan melancarkan serangan besar-besaran ke atas beberapa kemudahan tenaga di sekitar ibu kota Iran pada Sabtu, sekali gus menyaksikan ketegangan paling serius sejak konflik tercetus antara kedua-dua negara.

Menurut laporan saluran televisyen Israel, Channel 14, kira-kira 30 tangki simpanan minyak berskala besar di sebuah kilang penapisan terbesar Iran menjadi sasaran dalam serangan tersebut.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kebakaran besar berlaku di kilang penapisan minyak Shahr-e Rey yang terletak di selatan Teheran, selain satu letupan kuat dilaporkan berlaku di depot minyak Fardis di Karaj, bandar yang terletak di barat ibu negara itu.

Sumber di Kementerian Minyak Iran memberitahu agensi berita Fars bahawa sekurang-kurangnya tiga depot minyak di Kouhak dan Shahran di Teheran serta di Karaj telah diserang pesawat pejuang Israel.

Perkembangan itu berlaku ketika beberapa pemimpin Israel secara terbuka menggesa supaya sektor tenaga Iran dilumpuhkan.

Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, dilapor mencadangkan agar Israel memusnahkan medan minyak Iran serta kemudahan tenaga di Pulau Kharg, dengan alasan langkah itu mampu melumpuhkan ekonomi Iran dan mempercepatkan kejatuhan kerajaan negara tersebut.

Sementara itu, imej dari depot minyak Shahran di utara Teheran menunjukkan letupan besar dengan api menjulang tinggi, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan bahan api bagi ibu negara Iran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button