BERITA SEMASADALAM NEGERI

MAHB kenakan penalti RM9.1 juta kepada kontraktor projek Aerotrain KLIA

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan penalti ganti rugi LAD (ganti rugi yang telah dipersetujui lebih awal dalam kontrak) berjumlah RM9.1 juta terhadap Alstom serta usaha sama IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IPJV) susulan kegagalan menyiapkan projek aerotrain baharu di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) mengikut jadual ditetapkan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia memaklumkan, penalti tersebut dikenakan bagi tempoh 91 hari bermula 1 April hingga 30 Jun 2025.

Menurut kementerian itu, seperti termaktub dalam kontrak, kadar LAD ditetapkan sebanyak RM100,000 sehari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta.

Penjelasan tersebut diberikan menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung jumlah penalti yang dikenakan terhadap kontraktor berkenaan berikutan kelewatan dan kegagalan penyampaian projek secara memuaskan.

Dalam perkembangan berkaitan, MAHB sebelum ini memaklumkan bahawa penilai kereta api bebas mengesahkan sistem aerotrain KLIA beroperasi seperti dirancang.

Menurut penilaian tersebut, gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak ia mula beroperasi adalah lazim pada fasa awal sistem rel kompleks.

Penilai berkenaan turut mendapati gangguan tersebut tidak menimbulkan sebarang risiko keselamatan memandangkan kawalan kejuruteraan berstruktur serta pemantauan berterusan dilaksanakan bagi mengurus isu yang timbul secara berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button