AKPS rampas 10 kontena e-waste seberat lebih 245 tan di Pelabuhan Klang
KUALA LUMPUR – Cubaan membawa masuk hampir 246 tan sisa elektronik dan besi buruk ke negara ini terbongkar apabila Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 10 kontena dalam operasi pemeriksaan di West Port, Pelabuhan Klang, pagi tadi.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan dilakukan selepas kontena berkenaan ditandakan mencurigakan hasil imbasan awal oleh pegawai bertugas.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan kira-kira pukul 9 pagi melibatkan 15 kontena yang ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut beliau, operasi itu turut disertai wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Lembaga Pelabuhan Klang serta SIRIM Berhad.
“Daripada 15 kontena yang diperiksa, 10 daripadanya didapati mengandungi campuran sisa elektronik (e-waste) dan besi buruk dengan jumlah keseluruhan seberat 245,780 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kontena terbabit dikesan memasuki negara ini secara berperingkat iaitu pada Disember 2024 serta Mei dan Julai tahun lalu.
Tegasnya, pengimportan sisa terjadual adalah dilarang sama sekali di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.
Menurutnya, kesemua kontena yang dirampas akan ditempatkan di kawasan simpanan berkawal sementara menunggu arahan lanjut daripada JAS Selangor dan ibu pejabat jabatan itu bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal.
“AKPS akan terus memperhebat pemeriksaan terhadap kontena komersial yang disyaki membawa bahan buangan terlarang.
“Kita komited memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di pintu masuk negara demi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan nasional sentiasa terpelihara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















