BERITA SEMASA

Struktur binaan haram di tanah Yayasan Kubra dirobohkan awal pagi tadi tanpa sebarang rusuhan – Peguam

KUALA LUMPUR – Sebuah struktur binaan haram yang dibina di atas tanah milik Yayasan Kubra berjaya diruntuhkan awal pagi tadi dengan lancar tanpa sebarang rusuhan atau provokasi.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pada masa sama pihak polis turut berada di lokasi untuk memantau keadaan.

“Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada tiga perkara yang saya nak katakan, gerakan ini melibatkan ramai orang Islam dan juga bukan Islam.

“Ia hasil daripada pelbagai mesyuarat dan cadangan pelbagai pihak. Tak sia-sia mesyuarat sampai jam 12 malam tadi. Para peguam mengatur strategi perundangan, aktivis pula merangka aktiviti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam melaksanakan prancangan yang diketuai oleh Tok Cindai, Panglima Aduka dan Ustaz Masrizi. Gabungan ini sangat berperanan dan saling lengkap melengkapi.

“Semasa meruntuhkan rumah anutan haram tersebut, kita masih menghormati agama lain. Buktinya kita tidak memecahkan patung-patung sembahan mereka. Kita cuma alihkan sahaja kedudukan mereka dan kemudiannya mereka membawa patung-patung tersebut ke tempat lain.

“Jadi ini bukan isu agama. Pihak yang membangkitkan isu agama dan perkauman itulah yang sebenarnya rasis. Rumah anutan yang mengikut undang-undang kita tak pertikaipun malah Islam melindungi kebebasan beragama,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Kuil
Sebuah kuil yang dibina di tanah milik Yayasan Kubra dirobohkan.

Dalam pada itu menyentuh mengenai satu poster yang mengajak orang ramai untuk bergotong-royong membersihkan tapak itu petang ini, katanya, program tersebut masih berjalan meskipun kerja perobohan telah dilakukan.

“Ada yang kata kami sangka akan robohkan rumah anutan jam 5 petang kenapa roboh awal pagi? Saya cuma boleh kata jemputan jam 5 petang itu untuk gotong-royong membersihkan tanah Yayasan Kubra termasuk membersihkan saki baki rumah struktur rumah anutan haram, kita tak kata pukul 5 untuk robohkan rumah anutan haram.

“Lagipun kalau ramai sangat datang nanti kita tak boleh kawal. Biarlah strategi dirancang oleh kumpulan yang kecil kerana kami juga mengambil kira beberapa kemungkinan termasuk isu perundangan,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melicinkan kerja-kerja perobohan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button