Kecewa janji dimungkiri, Yayasan Kubra akan bersihkan binaan haram di tanah miliknya esok
RAWANG — Yayasan Kubra menegaskan akan melaksanakan tindakan pembersihan terhadap binaan haram di atas tanah milik penuhnya di Rawang Perdana selepas tempoh yang diberikan kepada penceroboh tamat pada jam 11.59 malam ini.
Dalam satu kenyataan media hari ini, pihak pemegang amanah Yayasan Kubra memaklumkan bahawa tempoh 14 hari telah diberikan kepada pihak penceroboh bermula 11 Februari lalu sehingga hari ini bagi mengosongkan tapak berkenaan.
Menurut kenyataan itu, tempoh berkenaan dipersetujui dalam pertemuan dua hala antara Yayasan Kubra dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan kehadiran pihak penceroboh.
“Pada asalnya, tempoh tujuh hari diberikan, namun dilanjutkan kepada 14 hari sebagai tanda ihsan berikutan kerjasama yang diberikan kepada pihak polis.
“Yayasan Kubra turut menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat dakwaan kononnya pihak penceroboh diugut dan dipaksa keluar oleh pihak berkuasa, yang disifatkan bercanggah dengan persetujuan serta janji yang telah dibuat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Persetujuan tersebut, menurut Yayasan Kubra, turut disahkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, menerusi satu hantaran di Facebook bertarikh 11 Februari 2026.
Sehubungan itu, Yayasan Kubra menegaskan bahawa sebarang tindakan pembersihan selepas tamat tempoh tidak akan disertakan notis lanjut dan segala kos yang terlibat adalah di bawah tanggungjawab serta liabiliti pihak penceroboh.
Dalam masa sama, Yayasan Kubra menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk menyertai program gotong-royong di tapak tanah milik penuh yayasan itu pada esok jam 5 petang di Lot PT 19501, PT 19502 dan PT 19503, Mukim Rawang, Daerah Gombak.
Menurut kenyataan itu lagi, tanah berkenaan dirancang untuk pembangunan rumah asnaf, namun usaha tersebut didakwa terhalang sejak lapan tahun lalu akibat pencerobohan yang berlaku sejak 2018.
Yayasan Kubra menegaskan pendirian berdasarkan prinsip syarak “Laisa li ‘irqin zalimin haqq” yang membawa maksud tiada hak bagi penceroboh ke atas tanah yang bukan miliknya, serta kaedah fiqh “Ad-Dhararu Yuzal” yang menuntut agar kemudaratan dihapuskan.
“Kami mempunyai amanah untuk membangunkan rumah asnaf dan melaksanakan tanggungjawab yang sekian lama tertangguh. Tindakan ini dibuat demi memastikan tanah milik Yayasan Kubra dapat dimanfaatkan mengikut tujuan asalnya,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







