Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram: Ahli PKR buat laporan polis, gesa PM campur tangan
KUALA LUMPUR – Sekumpulan ahli PKR membuat laporan polis terhadap individu dan sebuah kumpulan yang didakwa akan menganjurkan himpunan berunsur provokasi kaum dan agama di ibu negara, malam esok.
Mewakili kumpulan itu, Thiban Subbramaniam dalam satu kenyataan berkata, laporan tersebut dibuat terhadap seorang individu bernama Zamri Vinoth Kalimuthu serta kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Anti Rumah Anutan Haram.
Menurut beliau, tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan bukan sahaja berisiko mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, malah boleh menjejaskan ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani secara tegas mengikut peruntukan undang-undang.
“Perkara ini dipercayai mempunyai unsur kesalahan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 298, 295A, 504 dan 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekiranya melibatkan penyebaran melalui platform digital,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan, perpaduan rakyat serta keharmonian antara agama terus terpelihara selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Dalam masa sama, Thiban turut meminta campur tangan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan isu sensitif melibatkan kaum dan agama ditangani secara adil, tegas dan berhemah demi kestabilan negara.
Beliau berkata, himpunan itu berpotensi mencetuskan ketegangan serius serta menggugat keharmonian negara, lebih-lebih lagi ketika Malaysia menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Beliau juga mendakwa perkembangan tersebut mempunyai unsur perancangan politik lapuk yang bertujuan menggugat kredibiliti Perdana Menteri serta melemahkan Kerajaan Perpaduan, selain tidak menolak kemungkinan wujud kaitan dengan pihak berkepentingan politik tertentu.
“Saya bimbang terdapat hubungan dengan individu dan rangkaian yang mempunyai kaitan rapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, termasuk peguam dan penyokong beliau, yang wajar disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, sokongan terbuka PAS terhadap himpunan berkenaan serta penganjurannya yang berlaku serentak dengan lawatan rasmi Perdana Menteri India menimbulkan persoalan serius mengenai motif politik dan berpotensi mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Thiban turut menyuarakan kebimbangan terhadap corak provokasi yang dibangkitkan menyerupai pendekatan yang pernah mencetuskan konflik dalam insiden Kuil Seafield, sekali gus menuntut tindakan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berulang.
“Kenyataan ini dikeluarkan sebagai tanggungjawab seorang warganegara yang prihatin terhadap kestabilan negara dan saya menyeru semua pihak agar menolak sebarang bentuk provokasi perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan perpaduan nasional,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








