BERITA SEMASA

Kuil dibina di atas tanah Yayasan Kubra minta tempoh 2 minggu berpindah

KUALA LUMPUR – Kuil Utchimalai Muneswaran yang dibina secara tidak sah di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang meminta tempoh dua minggu untuk berpindah.

Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong, persetujuan itu dicapai selepas pertemuannya bersama sebuah pemimpin persatuan agama Hindu Rabu lalu.

“Pada Rabu lalu, saya bersama-sama Pengerusi Hindu Sangam Cawangan Rawang, Datuk Suresh Rao telah membuat tinjauan ke lokasi kuil yang terkait dengan perobohan di Rawang baru-baru ini.

“Kami telah dimaklumkan bahawa pihak kuil sedang membuat persiapan untuk berpindah dan telah meminta dua minggu untuk menjalankan proses ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Kuil
Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengadakan pertemuan bersama-sama Pengerusi Hindu Sangam Cawangan Rawang, Datuk Suresh Rao di lokasi sebuah kuil yang dirobohkan di tanah milik Yayasan Kubra.

Dalam pada itu katanya, beliau dan persatuan itu akan terus mengadakan penglibatan dengan kedua belah pihak iaitu pemunya tanah dan pihak kuil bagi mencari langkah penyelesaian yang tuntas dan adil kepada semua.

Rabu lalu, pemilik tanah tersebut telah bertindak membersihkan tanah tersebut daripada struktur haram yang dibina sejak 2018.

Bagaimanapun tindakan pemilik tanah itu telah menimbulkan kontroversi apabila empat individu termasuk aktivis Tamim Dahri ditahan pihak polis kerana merobohkan binaan tersebut.

Kuil
Pasukan polis meninjau sebuah kuil yang dibina di tapak milik Yayasan Kubra ‘dibersihkan’ oleh sekumpulan aktivis. 

Tamim dan tiga individu lain kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk direman bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan supaya reman tersebut dibatalkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button