BERITA SEMASAPMX

Aduan terhadap pegawai kerajaan mesti ikut undang-undang, bukan dorongan politik – PM

KUALA LUMPUR – Aduan atau tindakan terhadap mana-mana pegawai mahupun agensi kerajaan perlu berasaskan undang-undang serta melalui proses siasatan yang rapi, bukannya dibuat dalam bentuk hukuman tanpa siasat atau didorong sentimen politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap penyelesaian isu perlu berpaksikan lunas undang-undang dan sekiranya terdapat aduan yang berasas, perkara tersebut wajar dibawa ke mahkamah untuk diproses mengikut peruntukan sedia ada.

“Kalau ada kelemahan melampau, munasabah kita tegur. Salahnya kita perbaiki tapi jangan kita beri gambaran seolah-olah semuanya buruk,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki didakwa memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam dalam sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mematuhi prosedur.

Berucap lanjut, Anwar turut mengingatkan bahawa tindakan menghukum sebelum siasatan terperinci dijalankan adalah tidak wajar.

“Orang yang berkorban puluhan tahun, dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, ikut proses undang-undang dan kalau ada aduan-aduan yang berat (kita) bawa kepada prosesnya.

“Belum siasat mesti hukum dulu, saya tidak pilih jalur itu. Jangan kita gopoh kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita.

“Ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita. Kita harus beringat begitu. Apalagi bulan Ramadaan ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button